Tuesday, 13 September 2011

Backpacking : Ganu-Penang-KL-Penang bahagian 3


Saya keluar dari perkarangan Masjid Jamek tepat pukul 7:06 pagi. Beli dua ketul karipap dan sebotol air soya dari peniaga di hadapan pintu masuk masjid. Saya memilih untuk bersarapan di tebing sungai. Betul-betul menghadap pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang. Inilah Kuala Lumpur yang asal, Kuala Berlumpur, walaupun lumpur bukan lagi zahir tetapi sudahpun memalit warga kota dalam bentuk rohani. Air sungai cantik, semacam air tebu. Deras sekali alirannya.
Di seberang sana, terdapat peserta perarakan yang terdiri daripada dua buah marching band, satu dari ATM dan satu lagi Provos TLDM. Di pinggir bibir sungai, beberapa ekor gagak berkeliaran mencari makanan, saya melemparkan inti karipap, peniaga tadi kata, inti ayam tapi ke mana ayam dalam karipap tu hilang? Yang ada hanya kentang. Makan kentang sambil berjalan akan menghasilkan peluh yang berlebihan kerana kentang membakar tenaga lebih pantas berbanding nasi.
Saya mengambil keputusan untuk ke Dataran Merdeka melalui kelompok ProvosTLDM dan anggota ATM yang bersidai di pagar sungai di belakang Bangunan Tun Abdul Samad. Dalam perjalanan, dua orang pelajar IKBN Dusun Tua menyapa saya. Bukti rakyat Malaysia sememangnya peramah atau mungkin mereka segan kepada saya setelah mengorat seorang gadis yang berjalan di hadapan saya tapi tidak mendapat sambutan balas.
Saya kemudiannya berhenti di kawasan Polis Trafik dan MP sedang berkumpul untuk melakukan raptai. Mereka sedang melakonkan aksi mengiringi Timbalan Perdana Menteri  melalui khalayak di  Dataran Merdeka, MC sedang mengarah-mengarahkan peserta, kemudian diikuti laungan 'Malaysia Berjaya!'.
Selang beberapa minit, tibalah giliran kereta yang membawa 'Perdana Menteri', kali di sambut laungan 'Satu Malaysia' dan lain-lain.
Bosan, saya membuka langkah, kali ini ikut gerak hati dan gerak kaki. Saya berjalan dari Dataran Merdeka ke Jalan Masjid India. Wah, ada bazar rupanya. Bangunan PKNS yang lama diinstall dengan struktur tambahan yang berupa kanopi.
Masjid India juga sudah berpagar. Agaknya pentadbiran masjid-masjid di Kuala Lumpur dan masjid yang serupa dengannya sudah berkurangan pemahaman agama mereka, atau lebih takut kepada manusia berbanding Allah SWT. Takut hilang barang, bukanlah satu alasan yang kukuh. Semuanya hanyalah keputusan politik.
Saya berjalan lagi sampai ke jalan TAR, kemudian sampai ke Campbell, hari masih awal. Tiada tanda-tanda ada kafe internet dibuka dalam perjalanan saya.
Saya berjalan dan terus berjalan sehingga lencun baju melayu  berlengan pendek yang saya pakai. Melepasi PERTAMA, Jalan Dang Wangi, ah! Langkah saya mula perlahan, berbagai ragam manusia yang sedang terkejar-kejar. Dunia makin pantas atau, saya yang makin perlahan.
Jam 8:20 saya mengambil keputusan menuju CM sambil menghubungi Affendi. Beliau menyuruh saya mengambil LRT ke Jelatek.
Kali ini saya tersesat sebentar kerana keliru antara komuter dan LRT. Dengan bantuan seorang Cina tua saya menuju ke stesen LRT Pasar Seni.
Tidak lama menunggu, saya sudahpun berada dalam LRT menuju Jelatek. Penuh dengan pekerja waktu pejabat. Semuanya dengan ragam tersendiri.
Sampai di Stetsen Damai, penumpang di koc saya sudah kurang. Saya yang dari awal berdiri melabuhkan punggung di bangku kosong. Di hadapan saya sepasang Melayu sedang bersembang, bukan kekasih tetapi mesra, saya  buat-buat tidak nampak. Si jejaka meletakkan tangan melingkari bahu gadis. Saya menjeling. Tangan dilepaskan. Daripada perbualan yang saya tidak ingin dengar, jelas mereka cuma BFF, tapi sedang mencuba untuk lebih... anda taukan, yang lebih rumit.
Sampai di Jelatek, saya seorang sahaja yang turun. Saya terus menghubungi Affendi. A= Affendi, S= saya.

A : Assalamualaikum
S : Waalaikum Salam
A : Mung duk mane?
S : Sapa doh Jelatek nih!
A : Ye dok? Mung napok dok Perodua ke? Trans ke?
S : Dok pung, Bangunang Perkeso adala...
A : Ye ke dok mung ning? Ke mung turung laing?
S : Betul doh nyior! Jelatek tebeng doh, mung ingak aku dok panda bacce? Aku jallang kaki doh ah, kak ane tepat mung?
A : Korrok mung! Mung ingat dekak? Mung turung manne tu?
S : Jelatekla rima!
A : Kalo mung turung Jelatek mesti  mung napok bangunang Perodua tuh!
S : Aku rasa aku turung kok tangga laing, tangga belakang.
A : Mung amek teksi ah, klem mulla kekgi, aku bayo aaaa...
S : Aku kata aku nok jallang kaki kang? dekak ke jauh?
A : Bodo menatang ni, naik teksi aku kata...
S : Doh aku nok jallang, berehi jallang!
A : Oloh! Payoh sungguh cakkak nga orang besor doh ning!
S : Nati aku teipung mulla mung, aku pusing steseng ning  dulu, mung duk manne? AU2?
A : AU2, mung naik teksi la...
S : hola hola!




Backpacking : Ganu-Penang-KL-Penang bahagian 2


Bas bertolak tepat pada jam 11:45 malam 11 September 2011. Saya agak, bas tersebut merupakan bas tambahan kerana penumpang memiliki tiket daripada syarikat pengangkutan yang berbeza. Tiket perlu ditukar kepada tiket lain sebelum masuk ke dalam bas.
Bas hampir penuh dengan beberapa seat masih kosong, seat sebelah saya kosong sehinggalah bas berhenti di satu tempat yang saya lupa namanya. Seorang lelaki India menempatinya sampai ke Shah Alam. Di Shah Alam hampir separuh penumpang turun dan digantikan dengan penumpang yang ingin ke Melaka.
Saya tiba di Kuala Lumpur dalam pukul 4:20 pagi 12 September, bas berhenti di hadapan Menara Maybank. Penumpang KL turun diganti dengan orang yang ingin ke Melaka.
Kelihatan homeless atau gelandangan melata berbaring tidur di sekitar kawasan tersebut. Bukan sedikit malah, beratus. pemandangan ini jauh berbeza dengan sedekad yang lalu. Dulu, golongan ini tidaklah seramai ini dan selalunya ialah para pengemis dan penagih tegar.
Imej milik eveandersson.com

Saya membelah kedinginan pagi menuju  ke arah Central Market, membawa backpack yang penuh , saya anggarkan seberat lima kilogram termasuk notebook Hewlett Packard. Ingin ke Masjid Jamek, tapi saya ingat-ingat lupa di mana.
Sampai di perkarangan CM, saya segera menuju ke arah balai polis bergerak, tepatnya sebuah van, saya menyapa anggota polis yang bertugas dan terus bertanyakan arah ke Masjid Jamek dengan dialek Ganu.
Seorang anggota menunjukkan jalan, saya ragu-ragu kerana mengikut ingatan saya yang kabur, arah ke masjid ialah berlawanan.
Ah, mungkin saya keliru!
Saya meneruskan langkah ke arah yang ditunjukkan anggota polis tersebut. Lima minit  berjalan, usahkan masjid, menara pun  belum kelihatan. Sudah! Saya baru perasan, ini bukan jalan ke Masjid Jamek, tapi jalan menuju Stesen KTMB. Cissstttttt! Polis ni tak pernah pergi masjid ke?
Kebetulan seorang pekerja Pos Malaysia lalu, saya bertanya lagi, namun jawapan yang saya terima langsung tidak membantu. Jam sudah lima lebih.
Kali ini saya akan ikut ke mana kaki saya bawa diri ini. Akhirnya setelah berjalan beberapa minit, saya nampak menara Masjid Jamek. Berhampiran stesen LRT Masjid Jamek kelihatan dua beranak berbangsa Cina sedang menyiapkan air soya untuk dijual. Tiada peniaga lain, masih awal mungkin.
Segerombolan remaja memasuki kawasan masjid, kesemuanya berseluar sukan dan berbaju T warna kuning. Masing-masin membawa backpack dan saya anggarkan bendera mini Malaysia yang digulung.
Ingin tahu saya bertanya, rupanya mereka merupakan pelajar sekolah yang menyertai sambutan hari merdeka. Singgah untuk solat subuh sebelum menjalani latihan persembahan dan perarakan hari sambutan yang akan dijalankan pada Jumaat 16 September nanti. Hari yang kebiasaannya disambut pada 31 Ogos, ditunda kepada 16 September tahun ini kerana ia jatuh pada sambutan hari Idul Fitri. 16 September dipilih kerana ia merupakan Hari Malaysia.
Di ruang solat tambahan, ada beberapa orang yang saya kira juga dalam keadaan bermusafir seperti saya. Pelajar sekolah yang menyertai perarakan semakin ramai, dengan warna baju yang berlainan. Ada yang berwarna kuning-putih, hijau pucuk, malah ada yang biru.
Sewaktu solat berjamaah, saya kira dalam 85 peratus jamaah merupakan pelajar sekolah, ruang solat utama tinggal dua saf yang kosong.
Tak lama setelah selesai solat, bermulalah acara latihan, yang diadakan di Dataran Merdeka, di seberang sana sungai di tepi Masjid Jamek.
Kedengaran marching band memainkan lagu Negaraku diikuti beberapa lagu patriotik yang lain. Pelajar sekolah yang berada di kawasan masjid beratur penuh disiplin diawasi guru-guru mereka sebelum menuju ke Dataran Merdeka.
Saya berhajat untuk mandi, tapi hawa pagi masih menggigit tulang hitam. Rehat sekejap. Saya memerhatikan keliling, petugas masjid sedang membersihkan kawasan masjid, anggaran saya mereka ialah wanita warga Indonesia, cuma pekerja lelaki merupakan warga tempatan.
Masjid Jamek tidak lagi seperti yang saya kenali dulu. Musafir dilarang berbaring dan tidur, antara fungsi utama masjid sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Dulu sewaktu saya sering ke sini, musafir termasuk gelandangan menjadikan Masjid Jamek sebagai tempat bernaung dan melepaskan lelah.
Mungkin inilah hasil pemisahan syariat Islam dengan kehidupan seharian yang diinginkan kerajaan, sekularisme. Islam sebagai adat sahaja, bukan cara hidup. Tidak hairanlah jika gelandangan memenuhi kawasan segitiga emas. Tidak hairan juga jika gelandangan menjadikan gereja sebagai tempat bernaung. Masjid milik umat Islam bukan lagi milik kita tetapi milik sesetengah pihak sahaja. Lagipun ia sudah bertambah satu lagi fungsi baru, tumpuan pelancong asing.
Sepasang kekasih, (saya agak pasti kerana aura sepasang suami isteri dan sepasang kekasih sangat berlainan) sedang bermanja mesra 25 kaki di hadapan saya, mengambil gambar sang lelaki berkain sarung sambil menggalas backpack. Sedari tadi asyik bertepuk tampar. Si gadis bepakaian agak menjolok mata walaupun masih lagi dikira bertudung. Tapi tidak menutup aurat.(Orang kita kecoh jika bukan Islam tidak menutup aurat di kawasan masjid walaupun berpakaian sopan (sah-sah tidak diwajibkan ke atas mereka menutup aurat kerana mereka tidak bersyahadah).
Seorang petugas mematikan lampu, menjadikan kawasan saya duduk bersila itu gelap, dalam samar-samar saya lihat seorang lagi musafir di sebelah kiri saya membaringkan diri sendiri. Pagi masih lagi dingin, saya berbelah bahagi untuk mandi.
Petugas tadi mengatakan sesuatu kepada musafir yang berbaring. Saya kira menegah beliau berbaring dan tidur kerana peraturan Masjid Jamek membatalkan fungsi itu. Terpampang pada papan tanda 'DILARANG BERBARING DAN TIDUR' dengan gambar orang lidi sedang berbaring.
Kemudian tanpa disangka petugas itu datang ke arah saya seraya berkata;
"Sila keluar, pintu pagar masjid akan dikunci!"
Pulak dah.............

Monday, 12 September 2011

Backpacking : Ganu-Penang-KL-Penang bahagian 1

Sungguh tak disangka, kunjungan saya ke Penang untuk temuduga akan bertukar jadi trip Backpacking sekitar Bayan Baru dan seterusnya membawa saya ke Kuala Lumpur.
Ketika mencari tempat temuduga di Hotel Sri Malaysia pada hari ahad, saya telah tersesat, kerana kedudukannya yang agak tersorok serta tidak dilalui oleh perkhidmatan Rapid Penang. Jenuh juga saya berjalan keliling Bayan Baru. Terpaksalah gunakan social skill yang dah lama berkarat. Malu bertanya sesat jalan.
Alhamdulillah, saya berjaya dalam temuduga, oleh kerana saya boleh berbahasa Inggeris dengan baik, maka saya akan ditempatkan di gudang Intel.
Masalahnya, saya terpaksa mencari tempat menginap terlebih dahulu kerana saya hanya akan memulakan tugas  Jumaat nanti, bermula dengan kursus Standard Operation Procedure, kemudian On Job Training selama tiga hari. Walaupun hostel disediakan, sehingga hari jumaat, saya belum boleh masuk hostel.
Duit dalam poket hanya ada kurang dari seratus.
Backpackers Inn pulak tiada di Penang, koman betul. Yang ada hanyalah hotel bajet, bajet-bajet pun mahal gila. Masih ada empat malam sebelum saya boleh keluar dari masalah ini.
Tawakkal! Ya Allah kepadamu hambamu ini berserah, hidup dan matiku.
Saya membuat keputusan untuk mencari hostel di sekitar Komtar, namun hampa. Kali ini saya tersesat sekali lagi di Prangin Mall. Tersasul sampai ke Pasar Chowrasta. Saya ke tingkat atas, di mana deretan kedai buku-buku terpakai dan naskhah sastera lama luar dan dalam negara tidak disedari kewujudannya..
Hampa dengan pencarian yang gagal, saya kemudian menuju ke jeti dan terus mengambil feri ke Butterworth. Huh! Harga tambang dah meningkat sampai RM1.20 berbanding 60 sen kali terakhir saya naik dahulu sekitar tahun 2000 pada hari raya Aidil Adha. Tapi saya tak kena bayar la sebab tambang dikira dua hala dari Butterworth-Penang-Butterworth.
Dengan menaiki Pulau Rawa, saya seolah-olah berada di negara orang. Melayu dua tiga orang, Cina dan India pun begitu. Yang ramai pendatang asing dari Nepal, Bangladesh dan Indonesia, serta mungkin juga Vietnam dari pertuturan mereka.
Sampai ke jeti Butterworth saya 'terkezut' lagi, tiada bangunan lama yang menempatkan Parkson, yang ada struktur sementara untuk platform bas. Banyak benar yang berubah.
Selepas makan saya ke Bagan Luar, menuju surau swasta yang disedekahkan oleh Shell Penang kepada masyarakat setempat, hajat dihati ingin menumpang tidur empat malam, namun kehadiran saya disambut dengan dingin. Almaklumlah surau tu bukan Rumah Allah yang diwakafkan oleh Shell, tetapi Rumah Umno yang dijaga oleh JKK Umno.Puiiii.....
Saya mengambil keputusan ke Kuala Lumpur.
Usai solat berjamaah di Surau Al Hidayah, saya menghubungi rakan lama Affendi Cakrapong di KL. Menyatakan hasrat saya bertandang ke tempat beliau. Dengan persetujuannya, saya terus beli tiket ke KL, selewat mungkin. Namun yang ada hanya tiket pukul 11:30 malam. 12:30 sudah habis!
Tanpa disangka, Affendi menelefon saya, mengatakan seorang lagi rakan saya turut berada di Perai, malam itu saya bertemu kembali Mat Tom, rakan sekolah. Kali terakhir kami bersua ialah pada tahun 2002 sebelum saya masuk ILP Gong Badak.
Mat Tom mempelawa saya ke rumah beliau, tapi saya menolak dan mengatakan tiket sudah dibeli. Saya jamin akan ke rumah beliau sebelum memulakan tugas saya nanti. Kami berbual panjang sebelum saya bertolak.
Malam itu 11:45 malam bas bertolak ke Kuala Lumpur.


Bersambung.......



;