Saya keluar dari perkarangan Masjid Jamek tepat pukul 7:06 pagi. Beli dua ketul karipap dan sebotol air soya dari peniaga di hadapan pintu masuk masjid. Saya memilih untuk bersarapan di tebing sungai. Betul-betul menghadap pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang. Inilah Kuala Lumpur yang asal, Kuala Berlumpur, walaupun lumpur bukan lagi zahir tetapi sudahpun memalit warga kota dalam bentuk rohani. Air sungai cantik, semacam air tebu. Deras sekali alirannya.
Di seberang sana, terdapat peserta perarakan yang terdiri daripada dua buah marching band, satu dari ATM dan satu lagi Provos TLDM. Di pinggir bibir sungai, beberapa ekor gagak berkeliaran mencari makanan, saya melemparkan inti karipap, peniaga tadi kata, inti ayam tapi ke mana ayam dalam karipap tu hilang? Yang ada hanya kentang. Makan kentang sambil berjalan akan menghasilkan peluh yang berlebihan kerana kentang membakar tenaga lebih pantas berbanding nasi.
Saya mengambil keputusan untuk ke Dataran Merdeka melalui kelompok ProvosTLDM dan anggota ATM yang bersidai di pagar sungai di belakang Bangunan Tun Abdul Samad. Dalam perjalanan, dua orang pelajar IKBN Dusun Tua menyapa saya. Bukti rakyat Malaysia sememangnya peramah atau mungkin mereka segan kepada saya setelah mengorat seorang gadis yang berjalan di hadapan saya tapi tidak mendapat sambutan balas.
Saya kemudiannya berhenti di kawasan Polis Trafik dan MP sedang berkumpul untuk melakukan raptai. Mereka sedang melakonkan aksi mengiringi Timbalan Perdana Menteri melalui khalayak di Dataran Merdeka, MC sedang mengarah-mengarahkan peserta, kemudian diikuti laungan 'Malaysia Berjaya!'.
Selang beberapa minit, tibalah giliran kereta yang membawa 'Perdana Menteri', kali di sambut laungan 'Satu Malaysia' dan lain-lain.
Bosan, saya membuka langkah, kali ini ikut gerak hati dan gerak kaki. Saya berjalan dari Dataran Merdeka ke Jalan Masjid India. Wah, ada bazar rupanya. Bangunan PKNS yang lama diinstall dengan struktur tambahan yang berupa kanopi.
Masjid India juga sudah berpagar. Agaknya pentadbiran masjid-masjid di Kuala Lumpur dan masjid yang serupa dengannya sudah berkurangan pemahaman agama mereka, atau lebih takut kepada manusia berbanding Allah SWT. Takut hilang barang, bukanlah satu alasan yang kukuh. Semuanya hanyalah keputusan politik.
Saya berjalan lagi sampai ke jalan TAR, kemudian sampai ke Campbell, hari masih awal. Tiada tanda-tanda ada kafe internet dibuka dalam perjalanan saya.
Saya berjalan dan terus berjalan sehingga lencun baju melayu berlengan pendek yang saya pakai. Melepasi PERTAMA, Jalan Dang Wangi, ah! Langkah saya mula perlahan, berbagai ragam manusia yang sedang terkejar-kejar. Dunia makin pantas atau, saya yang makin perlahan.
Jam 8:20 saya mengambil keputusan menuju CM sambil menghubungi Affendi. Beliau menyuruh saya mengambil LRT ke Jelatek.
Kali ini saya tersesat sebentar kerana keliru antara komuter dan LRT. Dengan bantuan seorang Cina tua saya menuju ke stesen LRT Pasar Seni.
Tidak lama menunggu, saya sudahpun berada dalam LRT menuju Jelatek. Penuh dengan pekerja waktu pejabat. Semuanya dengan ragam tersendiri.
Sampai di Stetsen Damai, penumpang di koc saya sudah kurang. Saya yang dari awal berdiri melabuhkan punggung di bangku kosong. Di hadapan saya sepasang Melayu sedang bersembang, bukan kekasih tetapi mesra, saya buat-buat tidak nampak. Si jejaka meletakkan tangan melingkari bahu gadis. Saya menjeling. Tangan dilepaskan. Daripada perbualan yang saya tidak ingin dengar, jelas mereka cuma BFF, tapi sedang mencuba untuk lebih... anda taukan, yang lebih rumit.
Sampai di Jelatek, saya seorang sahaja yang turun. Saya terus menghubungi Affendi. A= Affendi, S= saya.
A : Assalamualaikum
S : Waalaikum Salam
A : Mung duk mane?
S : Sapa doh Jelatek nih!
A : Ye dok? Mung napok dok Perodua ke? Trans ke?
S : Dok pung, Bangunang Perkeso adala...
A : Ye ke dok mung ning? Ke mung turung laing?
S : Betul doh nyior! Jelatek tebeng doh, mung ingak aku dok panda bacce? Aku jallang kaki doh ah, kak ane tepat mung?
A : Korrok mung! Mung ingat dekak? Mung turung manne tu?
S : Jelatekla rima!
A : Kalo mung turung Jelatek mesti mung napok bangunang Perodua tuh!
S : Aku rasa aku turung kok tangga laing, tangga belakang.
A : Mung amek teksi ah, klem mulla kekgi, aku bayo aaaa...
S : Aku kata aku nok jallang kaki kang? dekak ke jauh?
A : Bodo menatang ni, naik teksi aku kata...
S : Doh aku nok jallang, berehi jallang!
A : Oloh! Payoh sungguh cakkak nga orang besor doh ning!
S : Nati aku teipung mulla mung, aku pusing steseng ning dulu, mung duk manne? AU2?
A : AU2, mung naik teksi la...
S : hola hola!
0 comments:
Post a Comment